MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT

MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT
Keindahan itu Ketenangan Jiwa

Ahad, 25 April 2010

UiTM DI PUSAT PENYELIDIKAN UKM JERIAU BUKIT FRASER

BUKIT FRASER-Sabtu 24 April baru baru ini 50 pelajar UiTM Shah Alam telah mengadakan lawatan ke Pusat Penyelidikan UKM Jeriau berhampiran kawasan Hutan Lipur Jeriau. Pelajar di iringi oeleh 2 orang pensyarah iaitu Dr. Siva dan Puan. Anita. Ketibaan disambut oleh penyelaras pusat tersebut dengan didahului jamuan makan di gerai Mak Joyah yang terletak di kawasan gerai baru berhampiran klinik desa Bukit Fraser. Seterusnya diberikan taklimat ringkas dan dibawa ke denai hutan menuju puncak Jeriau. Turut serta Pengawas Hutan dari Jabatan Perhutanan Daerah Raub membantu pegawai penyelaras UKM memberi penerangan serta membantu pelajar membuat pengecaman pokok serta herba. Lawatan ditamatkan lebeh kurang jam 5.00 petang dengan hidangan minum petang. Semua pelajar berlepas balik turun ke Gap jam 6.00 petang. Menurut Puan Anita, lokasi adalah pilihan pelajar UiTM sendiri dan pihak pengurusan UiTM hanya menguruskan saja. Para pelajar tersebut dijangkan akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland pada tahun hadapan. Apa pun Insha'allah kami akan datang lagi ke Pusat Penyelidikan UKM Jeriau Bukit Fraser ujar Puan Anita pensyarah UiTM yang turut mengiringi pelajar.

Ahad, 11 April 2010

TERKINI

Kerja-kerja naik taraf telah pun selesai di Lata Jarum. Bagaimana pun penyerahan kunci bangunan belum di buat lagi oleh pihak kontraktor pada pihak Jabatan Perhutanan.

Pihak Kementerian Pelancongan Malaysia pula telah meletakan papan tanda besar di sepanjang jalan besar dari Raub hingga ke Benta.

Pengunjung tempatan dan luar negara telah mula meningkat ke Lata Jarum. Pelajar-pelajar dari IPT tempatan pun telah menunjukkan minat ke Lata Jarum dan kawasan hutan persekitarannya untuk menjalankan kajian yang pelbagai. Yang terkini dari Universiti Putra Malaysia datang meninjau untuk kajian orkid.

Aku sangat bangga dapat menaikkan semula nama Lata Jarum setelah 8 tahun terbiar sepi dan usang tampa perhatian yang khusus.

Kini setelah di naik taraf semula diharap Lata Jarum menjadi perhatian pelancong tempatan dan luar. Namun masaalah lama tak akan selesai seperti pencemaran sampah sarap.

Jika ada  sesiapa mempunyai idea bagaimana untuk mengurangkan pencemaran sampah sarap diharap dapat memberi komen disini dengan kadar segera.

Perhatian terhadap sampah sarap yang begitu banyak boleh menjejaskan persekitaran Lata Jarum serta habitat asli persekitaran hutan yang sedia ada.

Rabu, 24 Mac 2010

KERJA-KERJA NAIK TARAF LATA JARUM HAMPIR SELESAI


Salah satu bangunan yang telah siap dinaik taraf serta kawasan letak kenderaan yang baik. Bangunan ini adalah dewan serba guna yang boleh menjalankan aktiviti seperti kursus, taklimat, karaoke, mini seminar, majlis jamuan, suai kenal serta penginapan. Bangunan ini amat selesa untuk 50 orang pada satu masa bagi menjalankan apa jua aktiviti nanti.

Sabtu, 6 Mac 2010

MENGAPA AKU SUKA LATA JARUM

Sebenarnya minat aku pada hutan suatu ketika dulu tak ada langsung. Sebab apa, tak lain tak bukan tak ada ilmu mengenai hutan-hutan ni langsung. Oleh itu pentingnya ilmu untuk apa saja dalam kehidupan ini dari mula lahir lagi.

Setelah berpuluh tahun aku mengabdikan diri dalam Jabatan Perhutanan masih sikit sangat apa yang aku tahu tentang hutan kat negara aku sendiri.

Para cerdik pandai yang mengkaji dan menulis, buat buku, ceramah, seminar, bengkel dan sebagainya mengenai hutan kita yang kita nampak hari-hari untuk orang ramai masih tak mencukupi lagi untuk menyedarkan orang ramai atau pun rakyat Malaysia secara keseluruhannya betapa pentingnya sangat pemuliharaan hutan.

Yang paling sedihnya memang ada sebahagian besar warga Perhutanan itu sendiri. Pelbagai persepsi yang di hujahkan betapa pembalakan itu sangat penting bagi menjana ekonomi negara dan kepentingan kerjaya warga perhutanan. Kalau tak ada pembalakan maka warga perhutanan tak ada kerja lah.

Malangnya aku tak sependapat dengan rakan-rakan kerja ku. Maka mereka rasa aku tak sepatutnya menjadi warga perhutanan yang baik. Aku tak kata mereka silap dan tak kata pun betul. Aku amat faham mengapa kata-kata rakan ku sebegitu.

Sekian lama aku nantikan aku akan cuba melakukan sesuatu atas apa yang aku ketahui dari pendapat ku yang aku rasa tidak keseorangan.

Pelbagai fakta aku jumpai dan dicari saban hari melalui pelbagai dedahan bahwa potensi hutan bukan saja pembalakan boleh memberikan pulangan hasil yang besar. Malah banyak perkara lain lagi boleh memberi pulangan hasil berganda-ganda lagi dari pembalakan malah secara berpanjangan dari pembalakan.

Sedar atau tidak masih ramai rakan-rakan aku tidak sedar Jabatan Perhutanan masih berusaha terkial-kial untuk berealisasikan 12 pengelasan hutan. Jika semuanya menjadi kenyataan kelak, pembalakan mungkin akan dikurangkan atau di manimakan sama sekali.

Pada kajian sehingga akhir 1998 :-

Program pengurusan hutan mampan berkeluasan 12.74 juta hektar manakala 1.16 juta hektar dijadikan taman negara, perlindungan kehidupan liar dan hutan simpanan.

6.2 juta hektar dikhaskan bagi tujuan ekonomi negara dan sebarang kaedah pembalakan diharamkan sama sekali dalam kawasan yang tersebut.

Dalam pada masa itu satu garis panduan dilaksanakan pada pembalakan bagi kawasan yang dibenarkan hanya antara 7 hingga 12 pokok dari 500 batang pokok dalam satu hektar aje boleh di tebang.

Kebesaran pokok yang hanya boleh ditebang hendaklah dari keputusan bancian sebelum tebangan (Pre-F) bagi sesuatu kawasan pembalakan umpanya hanya 65 sentimeter perpang paras dada sahaja boleh tebang. Bawah had batas ukuran tersebut tak boleh tebang langsung. Inilah tokey balak pening kepala ni.

Apa pun banyak lagi peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa untuk di ikuti pembalakan masa kini. Oleh itu bila tokey balak dah pening, mulalah nak curi. Bila curi, masa ni, masuk talibisen.

Hutan juga terlalu banyak dengan pelbagai sumber berpotensi sebagai sumber ekonomi selain kayu balak.

15,000 tumbuhan berbunga, 300 mamalia, 700 burung, 300 reptilia, 165 amfibia, 300 ikan air tawar dan berjuta-juta serangga.
 (kajian UPM : Fakulti Perhutanan )

Bunga : jika kita mempunyai kepakaran mengadunkan pelbagai jenis bunga dan menghasilkan minyak    wangi yang baik boleh mendatangan pulangan ekonomi berjumlah berbillion dollar. Tokey Arab beli kat orang Malaysia kayu geharu buat minyak wangi boleh mendatangan pulangan yang banyak lebih pada minyak. Ramai orang tahu perkara ini.

VERY VERY HOT

Dalam keadaan yang sangat panas ini macam-macam rasa keadaan tubuh badan kita. Tapi jangan gaduh-gaduh sangatlah akan panas ni. Ini semuanya datang dari ALLAH s.w.t nak uji kita.

Apabila keadaan panas berterusan, bukan saja tubuh badan kita tak keruan, tapi perasaan pun tak tentu arah. Maka oleh itu janganlah hairan manusia pun mendapat pengaruh panas ini menjadi tak keruan hingga ada yang sanggup melakukan perkara-perkara kita tak suka seperti mendera, membunuh, bergaduh, tertekan dengan kehidupan seharian yang semakin meningkat masaalah, nak marah-marah tak tentu pasal dan macam-macam lagi lah.

Maka akibat pengaruh panas yang semakin meruncing masa ni, aku pun tak lepas dari pengaruh tu dengan tiba-tiba aku di tumbuk oleh seorang penduduk kampung baru-baru ni. Nasib baik tak biru hijau kuning muka aku. Apa pun aku yang memang tak pandai bergaduh ni menderita aje le. Nyesal pulak dulu dulu tak belajar silat-silat pulut.

Maka dalam keadaan panas panas ni berhati hatilah semasa di jalan raya, dalam urusan kerja, bertutur kata, bersenda gurau, beraktiviti dan apa pun di buat.

Sebagai kaedah untuk mengurangkan ketegangan akibat kepanasan ini bawak bawaklah bersejuk sejuk dan yang paling sesuai sekali bawaklah diri kedalam hutan.

Rasailah ketenteraman diri semasa di hutan kita yang masih banyak lagi ini. Oleh yang demikian aku lihat melalui tinjauan sendiri sebelum sambutan tahun baru cina lagi hingga kini, banyak yang melarikan diri ke Bukit Fraser, Genting Highlands dan Cameron Highlands. Kan sejuk kat situ.

Kat hutan-hutan lipur sekitar Hulu Langat padat dengan pengunjung waktu cuti. Begitulah faedah hutan hujan tropika kita yang kadang-kadang kita tak sedar memberi faedah yang begitu besar sekali akan kehidupan manusia pada ketika ini.

Dimana mana kawasan berhutan waktu ini jika kita pergi di penuhi oleh pengunjung. Mereka sanggup bawa keluarga berkhemah dalam hutan untuk seketika menteteramkan diri. Shabas pada yang melakukan.

Bagai mana anda.....

Aku pada ketika ini tampa jemu memantau senario ini di kawasan kawasan berhutan terutama sekali di kawasan daerah Raub. Kalau kenal tegur tegur lah. Aku sedia membantu jika di perlukan. Tak mintak sorry lah.

Lata Jarum tidak terkecuali akan akibat senario pada ketika ini. Sama aje macam tempat lain. Malah setiap hari sentiasa ramai pengunjung mandi manda menyejukkan badan. Nak tau macam mana sejuknya air Lata Jarum duduklah dalah peti ais 30 minit. Suhu air Lata Jarum cuma lebih kurang 18-20 darjah selsius aje, tak sejuk kan.

Sabtu, 27 Februari 2010

KERJA-KERJA NAIK TARAF LATA JARUM BERJALAN LANCAR

Dari 15 Dec 2009 hingga kini, semua infrastruktur Lata Jarum sedang di naik taraf untuk kemudahan pengunjung dan imej pelancongan serta Jabatan Perhutanan yang menguruskan kawasan tersebut. Dengan kemudahan yang sedia ada seperti Pusat penerangan, Rumah pelawat, Chalet, Surau, Dewan serbaguna, Gerai, Tandas, Astaka dan Pondok rehat akan memberi keselesaan pada pengunjung yang semakin meningkat saban masa setelah terbiar hampir 7 tahun.

Kerja-kerja naik taraf yang akan di jangkakan selesai pada 5.April 2010 ini dijangkakan akan memberi satu wajah baru dan dimensi baru pada Lata Jarum.

Dengan perubahan pada warna dan wajah pusat penerangan yang baru diharap dapat memberi satu anjakan yang berinovatif serta mencipta kreativiti yang penuh semangat.

Alhamdulillah, 2 tahun berjuang dengan dibantu oleh sahabat-sahabat yang sejiwa dan sealiran minat terhadap sumber alam yang asli yang di anugerah ALLAH s.w.t telah diberkati akan apa yang di usahakan.

Apa pun, terima kasih diucapkan pada boss aku yang banyak memberi ruang aku berkreatif dan pihak UKM serta Menteri Pelancongan Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen dan Exco Pelancongan Pahang Dato' Shafiq Fauzan dan tidak lupa rakan-rakan dari media, MNS, penduduk-penduduk kampung Ulu Dong, dari jabatan-jabatan kerajaan daerah Raub, ketua-ketua kampung, penghulu Dong dan paling penting sekali dari isteri dan keluarga yang tercinta menyokong penuh atas usaha aku menumpukan Lata Jarum.

Bagaimana pun, segalanya masih satu permulaan.

Khamis, 18 Februari 2010

PELAJAR UIA GOMBAK KEMBARA DI HUTAN LATA JARUM

Pada hari rabu 17 Feb 2010 semalam beberapa orang pelajar UIA Gombak serta seorang pensyarah (T-Shirt putih) Dr. Rashidi dari Fakulti Senibina Jabatan Landskap melakukan ekspedisi sehari meninjau spesies paku pakis sejauh lebih kurang 3 kilometer hingga mencapai ketinggian 500 meter aras laut. Sepanjang perjalanan ekspedisi tersebut yang memerlukan stamina yang tinggi tidak menjadi masaalah pada pelajar dan pensyarah serta kakitangan yang mengikuti. Mereka juga berkesempatan melihat spesies Rafflesia yang sudah beberapa hari berkembang. Mereka sempat sampai ke kawasan yang disebut orang kampung sebagai Lata Tinggi. Kawasan ini pada waktu malam boleh mencapai sehingga 20 darjah celsius yang mana menyamai kawasan tinggi tempat lain seperti Bukit Fraser umpamanya. Jika tengahari tidaklah sampai sesejuk itu, cuma udaranya sangat nyaman sekali. Bagaimanapun Dr. Rashidi telah merasai pengalaman bermalam dikawasan tersebut. Mengikut pengalaman Dr. Rashidi masa berkhemah dulu, ada peserta yang tidak membawa baju panas atau jaket tidak dapat tidur akibat kesejukan sangat. Oleh itu ingatlah pada sesiapa nak bermalam dihutan kat mana-mana dapatkan maklumat dulu dan ikutlah nasihat yang berpengalaman disesuatu tempat.

Rabu, 17 Februari 2010

UNIT LADANG HUTAN KEMASUL MENTAKAB PAHANG DI LATA JARUM

Pada 15 - 17 Feb. lepas unit ladang hutan dari Mentakab Pahang yang diketuai oleh Pengawas Hutan Kanan En. Nazri serta 15 kakitangan yang lain telah berada di Lata Jarum untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan mengutip anak benih dan anak pokok pelbagai spesies untuk memenuhi bekalan anak pokok di tapak semaian mereka. En. Nazri memaklumkan bahawa tapak semaian mereka kini mempunyai berpuluh ribu anak pokok pelbagai spesies seperti untuk tanaman landskap dan juga untuk memperkayakan hutan semula. Antara spesies tersebut seperti Meranti Tembaga, Meranti Sarang Punai, Merawan, Chengal dan lain-lain lagi. Anak pokok untuk landskap pula seperti Bunga Raya, Kelat, Puding, Serai Wangi, Pulai, Medang Teja, Merawan Siput Jantan dan lain-lain lagi. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan anak-anak pokok tersebut hubungilah Unit Ladang Hutan Mentakab atau secara bertulis. Sehingga ini hanya banyak permintaan dari sekolah-sekolah dan masjid-masjid sahaja. Yang menariknya semuanya adalah percuma. Kalau betul-betul berminat datanglah melawat ke Unit Ladang Hutan Mentakab.

CUTI TAHUN BARU CINA 2010

Sebahagian lokasi Hutan Lipur Sg. Gabai Hulu Langat Selangor yang agak terhad untuk menampung pengunjung yang begitu ramai pada musim cuti.



Selasa, 9 Februari 2010

MINI EKSPEDISI BUKIT FRASER 2010


Pada 5 Feb Jumaat lepas aku ke Bukit Fraser untuk menyertai ekspedisi yang dianjurkan oleh Fakulti Sains & Teknologi UKM Bangi yang di ketuai oleh penyelaras penyelidikan UKM Bukit Fraser Prof. Dr. Jumaat Adam. Seramai lebih kurang 20 orang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UKM serta beberapa pelajar dari Iran serta Austria. Ekspedisi berjalan selama 2 hari yang bermula pagi sabtu dengan melalui denai UKM di permatang Jeriau, Hutan Lipur Jeriau dan persekitaran Bukit Fraser hingga ke denai Pine. Sepanjang ekspedisi pelbagai penemuan diselidiki oleh peserta.


Rabu, 13 Januari 2010

LAWATAN SEKEJAP YANG BERMAKNA

Petang 13 Jan Rabu lebih kurang jam 5.30 petang empat buah kenderaan besar besar yang dinaiki sekumpulan pegawai-pegawai pelancongan negeri Pahang serta pelbagai pihak media dan dari Genting Highlands tiba di Lata Jarum mengadakan lawatan sambil meninjau kerja-kerja naik taraf yang sedang dijalankan kini. Menurut salah seorang pegawai pelancongan tersebut yang saya difahamkan, lawatan ke pelbagai destinasi pelancongan termasuk Lata Jarum untuk dibawa ke kabinet. Apakah maksudnya dibawa ke kabinet. Harapnya tidak ke dalam almari kabinet. Jika ke jemaah menteri kabinet dan Lata Jarum termasuk dalam senarai kawasan pelancongan nanti, apakah relevan hanya tiga kakitangan jabatan perhutanan ditugaskan disitu dengan tiada elaun lebih masa dan elaun bermalam yang dihadkan cuma tiga ke lima malam saja. Diharap pihak pelancongan tidak hanya memikirkan kawasan pelancongan yang terbaik tapi ambil lah kira sekali kebajikan tenaga kerja yang mengendalikan. Apa salahnya pihak pelancongan memberi insentif pada kakitangan perhutanan sikit yang bertugas di hutan lipur seluruh negara. Contohnya dengan memberi kursus pengurusan eko-pelancongan, pemandu pelancongan, bahasa inggeris, komunikasi, denai hutan, lawatan sambil belajar dan apa-apa lagi yang bersesuaian dengan objektif eko-pelancongan. Kalaulah ini dilakukan pihak pelancongan pada kakitangan perhutanan di hutan lipur, saya berani potong telinga le ramai nak bertugas di hutan lipur dari mengejar kerja kat unit operasi dan penguatkuasaan. Alamak, lupa pulak nak ambil gambar mereka masa sampai tu. Maklumlah orang utan kena temuramah... he he he....

PENYELIDIK TEMPATAN


Pada 10 hb, Jan Ahad baru baru ini Prof. Datuk Dr. NorRamly bersama dua pelajar UKM dari Fakulti Sains dan Teknologi sampai ke Lata Jarum meninjau pelbagai spesies khususnya tepus hutan (keluarga halia).
Beliau serta pelajarnya dibawa melihat Rafflesia dan melalui kawasan gugup sungai. Walau bagaimana pun beliau masih lagi gagah berjalan dihutan walau pun dibawa berjalan lebih kurang 2.5 kilometer pergi dan balik dari kompleks Lata Jarum. Saya berharap akan berjumpa banyak lagi Profesor tempatan yang hebat dan bersemangat tinggi meneruskan misi penyelidikan dihutan tropika yang kaya dengan pelbagai spesies. Jadi, siapa kata penyelidik kita tak hebat. Tapi bagaimanapun saya berharap dapat berjumpa banyak seperti Prof. Dr. Jumaat Adam yang suka bergelumang dalam hutan siang dan malam tampa jemu dan tak pandai nak balik bila masuk hutan. Pemikiran saya, kalau national geographic selalu memaparkan kehebatan penyelidikan dikalangan orang inggeris, mengapa tiada pihak media kita tak nak buat kehebatan penyelidikan kita yang kaya ini ? Apakah memang sukar mencari penyelidik kita yang hebat untuk digambarkan seperti national geographic lakukan. Emm... takat ini kalau tanya saya, memang mungkin...salah satu soalan yang mungkin ada sesiapa tahu dari para cendiakawan, siapakah penyelidik tempatan yang tinggal dihutan selama lebeh lima tahun. Harap ada yang ceritakan saya secara ringkas siapa dia.

KERJA-KERJA NAIK TARAF SEDANG RANCAK DI LATA JARUM