Lawatan kerja Menteri Pelancongan YB Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen ke Lata Jarum pada 31 Mei beberapa hari lepas merupakan satu penghormatan bagi Jabatan Perhutanan Pahang khususnya Jabatan Perhutanan Daerah Raub. Segala usaha Jabatan Perhutanan memulihkan Lata Jarum dari 2008 setelah 4 tahun terbiar membuahkan hasil. Kini Lata Jarum mendapat perhatian dari Kementerian Pelancongan untuk membangunkan kemudahan infrastrutur kemudahan asas bagi menambah tarikan pengunjung ke Lata Jarum. Pelbagai perancangan telah dibuat dengan mengambil kira pemuliharaan alam sekitar. YB Menteri Pelancongan menghendaki pembangunan di kawasan rekreasi dilakukan secara berhemah dan tidak menjejaskan alam sekitar. Beliau berhasrat Lata Jarum akan menjadi satu model bagi semua kawasan rekreasi yang ada dari segi pembangunan yang berasaskan mesra alam dan menjadikan kawasan pembelajaran serta penyelidikan disamping berekreasi dengan pelbagai aktiviti seperti jungle tracking meredah hutan, menyeberangi jeram, melihat lapangan sungai yang hilang serta pertumbuhan bunga pakma yang berkembang ( bunga terbesar di dunia ). Beliau juga berhasrat melahirkan lebih ramai pemandu pelancong yang profesional yang mahir mengenai hutan dan disamping itu juga mahir dengan pelbagai bahasa. Dengan hasrat yang sebegitu beliau sangat berharap sektor pelancongan akan berdaya maju dan menjadikan negara rumah kedua bagi pelancong-pelancong asing. Turut serta lawatan YB pemangku Pengarah Perhutanan Pahang Tuan Hj. Faiz, Pegawai Hutan Daerah Raub & Cameron Highlands En. Osman Deris serta Penolong En. Yusuf dan lain-lain kakitangan perhutanan. Pegawai-pegawai dari kementerian pelancongan, pegawai-pegawai dari pejabat daerah dan lain-lain jabatan, Penghulu dan ketua-ketua kampung turut memeriahkan lawatan. Kebetulan pada hari minggu tersebut ramai pengunjung-pengunjung yang turut memeriahkan lawatan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan